Pages

Monday 23 December 2013

Lirik Lagu: Sandiwara Cinta (Republik)

Aku tahu ini semua tak adil
Aku tahu ini sudah terjadi
Mau bilang apa aku pun tak sanggup

Air mata pun tak lagi mau menetes

Alasannya seringkali ku dengar

Alasannya seringkali kau ucap
Kau dengannya seakan ku tak tahu
Sandiwara apa yang telah kau lakukan kepadaku


Jujurlah sayang aku tak mengapa

Biar semua jelas telah berbeda
Jika nanti aku yang harus pergi
Ku terima walau sakit hati


Mungkin ini jalan yang engkau mau

Mungkin ini jalan yang kau inginkan
Kau dengannya seakan ku tak tahu
Sandiwara apa, ceritanya apa, aku tahu


Jujurlah sayang aku tak mengapa

Biar semua jelas telah berbeda
Jika nanti aku yang harus pergi
Ku terima walau sakit hati


Jujurlah sayang aku tak mengapa

Biar semua jelas telah berbeda
Jika nanti aku yang harus pergi
Ku terima walau sakit hati
Ku terima walau sakit hati


*p/s: 
Lagu ini aku tujukan kepada seseorang yang tidak menghargai ikatan sebuah percintaan. Benar, kejujuran amat penting dalam perhubungan. Sekiranya tiada jujur, maka tidak bermakna lagi kita meneruskan hubungan yang entah pasti akan bertemu penghujungnya. 
Namun begitu, hubungan sebegini mampu menjadikan kita seorang manusia yang matang dan tidak mudah melatah. Kita perlu belajar dari sebuah kesilapan dan kekecewaan. 
Nasihatku kepada sahabat di luar sana... jangan sesekali mempermainkan sebuah ikatan cinta yang suci ini. kelak anda sendiri yang akan menerima padahnya.

Friday 19 July 2013

New life New environment

Hari ke-5 di Maintenance Office, Group Property Management, Emkay Group, Menara Mustapha Kamal

Tuesday 4 June 2013

UUM DI HATIKU


Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan universiti yang keenam ditubuhkan di Malaysia. Ia ditubuhkan secara rasmi pada 16 Februari 1984 di bawah Perintah (Perbadanan) Universiti Utara Malaysia. UUM merupakan sebuah universiti awam di bandar Sintok, Kedah Utara bermaksud “utara” dalam bahasa Melayu. Universiti telah ditubuhkan dengan misi khusus memberikan peranan kepimpinan bagi pengurusan pendidikan di negara ini. Oleh itu, Universiti juga dikenali sebagai sebuah universiti pengurusan. Pertubuhan akademik di UUM termasuk Kolej Perniagaan (UUM COB), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (UUM COLGIS) dan Kolej Sastera dan Sains (UUM CAS). UUM adalah universiti pertama di negara ini untuk menjadi percuma sepenuhnya menggunakan kabel gentian optik. Universiti mempunyai 29 makmal komputer di bangunan-bangunan akademik dan pentadbiran di kampus, menyediakan pelajar dengan pusat akses untuk e-perkhidmatan. Cogan kata UUM ialah “Ilmu, Budi, Bakti” telah menjadi amalan setiap pelajar.

Ilmu dalam Bahasa Inggeris bermaksud “knowledge”. Menurut Mohammad Hatta, ilmu adalah pengetahuan yang teratur tentang pekerjaan hukum sebab dan akibat dalam suatu golongan masalah yang sama sifatnya, baik menurut kedudukannya mahupun menurut hubungannya. Konsep ilmu sudah banyak digagas oleh para ilmuan, baik ilmuan yang hidup pada zaman dahulu mahupun ilmuan yang hidup pada zaman sekarang. Konsep ilmu menurut para ahli iaitu Mulyadhi Kaltanegara (2000) telah menyatakan konsep ilmu dalam Islam meliputi yang ghaib (metafisik) dan nyata (fisik) yang diperolehi melalui minda, akal, dan intuisi. Menurut Plato pula, konsep ilmu yang  digagas iaitu konsep idea sebagai realiti sejati. Adapun pengalaman dan penelitian merupakan ingatan dari dunia idea. Manakala, Al-quran pula menyatakan sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya siang dan malam, terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi. (Al-Quran. Surah Al-Imran [3]:190-191). Terdapat beberapa ciri-ciri ilmu. Ilmu adalah sebahagian daripada aspek kognitif yang terdapat dalam diri manusia. Maka dengan itu, ilmu adalah berkaitan dengan aspek kognitif manusia yang lain seperti pengetahuan, pengalaman, dan juga perasaan. Tetapi pada masa yang sama, ilmu adalah berbeza dengan perkara-perkara ini dan ciri-cirinya adalah seperti ilmu boleh dipertuturkan, ilmu mempunyai nilai kebenaran, ilmu adalah objektif, dan ilmu diperolehi melalui kajian.        Pertama, ilmu boleh dipertuturkan, ciri ini membezakan ilmu dengan perasaan dan pengalaman. Contohnya, sesetengah “pengalaman diri” seperti mimpi adalah sukar dipertuturkan melalui bahasa. Tetapi bagi ilmu, ia haruslah sesuatu yang dapat dipertuturkan melalui bahasa. Kedua, ilmu mempunyai nilai kebenaran, sesuatu yang digelar sebagai ilmu biasanya dianggap benar. Ciri ini membezakan pengucapan ilmu dengan pengucapan sastera yang biasanya mengandungi unsur-unsur tahayul. Ketiga, ilmu adalah objektif iaitu ciri ini bermaksud bahawa ilmu adalah sesuatu yang tidak dapat diubah menurut keinginan ataupun kesukaan seseorang individu. Keempat, ilmu diperolehi melalui kajian. Ilmu adalah hasil daripada kajian. Ia bukanlah sesuatu rekaan. Ilmu mengenai cara memperoleh ilmu itu dikenali sebagai perkaedahan penyelidikan ilmiah. Kelima, ilmu sentiasa berkembang. Ilmu adalah sentiasa berada dalam proses pertambahan, pemantapan dan penyempurnaan.

Kemudian, penjelasan mengenai Budi. Enam bulatan bujur berwarna kuning di tengah perisai ialah lambang padi masak yang membawa erti budi atau kebudimanan. Hal ini juga merupakan sebagai panduan akal dan perasaan untuk menimbang baik dan buruk pendidikan untuk memperkembang akal fikiran manusia. Selain itu, perkataan budi menurut Teuku Iskandar dalam Kamus Dewan dapat ditakrifkan sebagai perbuatan yang baik, sifat yang baik, watak yang baik, perangai yang baik, kebajikan, akal, kebijaksanaan, dan akhlak yang terpuji. Pendek kata, budi merupakan pekerti yang baik atau akhlak yang terpuji. Akhlak yang terpuji itu termasuklah keikhlasan, kejujuran, kebenaran, pemurah, belas kasihan, bertimbang rasa, tolong- menolong, bersopan santun, berbudi bahasa, berjasa dan berbakti. Hal ini tersirat di dalam firman Allah S.W.T di dalam surah (al Ahqah: 46: 16). Berbudi dan budiman membawa erti sebagai orang yang mempunyai budi bahasa, adab sopan, bersungguh-sungguh dalam pekerjaan, berdedikasi dalam menuntut ilmu, mempunyai daya ikhtiar yang tinggi, berkreativiti, berinovasi, matang, bijaksana dalam membuat sesuatu keputusan, waras sepanjang masa dan paling penting adalah banyak menabur jasa dan bakti. Orang yang budiman ini biasanya disegani oleh masyarakat kerana ramai yang terhutang budi kepadanya dan banyak pula yang akan berterima kasih kerana kebudimanannya. Sifat budiman hanya ada pada manusia dan tidak pada makhluk lain seperti haiwan. Hal ini disebabkan ciri utama sifat budiman ialah akal yang waras dan matang yang disokong kuat oleh hati nurani atau rohaninya. Dari segi biologi, manusia dan haiwan itu sama sahaja dari segi memerlukan makanan, minuman, tidur dan membiak. Tetapi dari segi rohaninya atau budinya, manusia dan haiwan itu berbeza sama sekali. Manusia ada akal dan hati nurani atau hati budi. Sedangkan haiwan hanya ada otak dan “instinct” atau ghazirah atau keinginan semula jadi untuk makan dan sebagainya. Dengan adanya hati budi, maka manusia boleh meningkatkan sifat budiman melalui ilmu pengetahuan, pengalamannya dalam bentuk penderitaan, kegagalan, kekecewaan, kesilapan, kesalahan, suka, duka, kejayaan, kegembiraan, dan sebagainya dari semasa ke semasa sedangkan haiwan tidak mungkin melakukan semua ini. Manusia yang budiman ialah manusia yang berusaha dan mengutamakan sifat budiman. Itulah matlamat akhir daripada tujuan hidupnya. Semakin hampir manusia kepada matlamat akhir itu, maka semakin jauhlah ia dari sifat haiwan dan sebaliknya. Jika kebudimanan itu kian luntur daripada peribadi seseorang, ini bererti semakin hampir kepada sifat kehaiwanan. Walaupun manusia tidak mungkin menjadi haiwan tetapi sifat-sifat kehaiwanan itu menjadi sifat manusia tersebut. Mereka yang mempunyai sifat kebudimanan yang tinggi mudah dikenal pasti. Mereka sanggup dan merelakan pelbagai pengorbanan. Harta mereka disedekahkan kepada jalan kebajikan. Mereka rela mempertaruhkan nyawa untuk menegakkan kalimah Allah S.W.T. Juga mempertahankan sempadan negara daripada pencerobohan musuh. Sekurang-kurangnya mereka merelakan pemergian dan perpisahan suami, anak atau orang yang tersayang yang pergi menabur jasa dan bakti di seluruh pelusuk dunia demi keamanan dan kesejahteraan global. Sebaliknya mereka yang luntur sifat kebudimanannya tidak berasa apa-apa jika melihat peminta sedekah yang kelaparan di tengah jalan atau di tangga rumahnya. Malahan ia sanggup pula melakukan penganiayaan kerana hatinya tidak dipenuhi dengan sifat kebudimanan. Sebaliknya dipenuhi dengan nafsu kehaiwanan. Sehubungan itu, Rasulullah S.A.W bersabda, terjemahannya: “Sebaik-baik rumah antara rumah kaum Muslimin ialah rumah di mana ada anak yatim yang diperlakukan dengan baik. Dan sehina-hina rumah antara rumah kaum Muslimin ialah rumah di mana anak yatim diperlakukan dengan tidak baik. Aku dan orang yang memelihara anak yatim di dalam syurga adalah seperti ini. Baginda mengisyaratkan dengan dua jarinya (maksud dekat sekali)”. Sesungguhnya budi, budiman, berbudi dan kebudimanan merupakan sifat yang hanya dimiliki oleh manusia sehingga menjadikannya sebagai makhluk yang paling mulia dan khalifah Allah S.W.T di atas muka bumi ini. Antara ciri utamanya ialah ikhlas, jujur, benar, merendah diri, pemurah, suka menolong, berjasa, berbakti hingga kepada berbudi bahasa dan bersopan santun.

Seterusnya adalah Bakti. Ketiga-tiga  baris di bahagian atas perisai melambangkan usaha bersama dan berseorangan untuk berbakti kepada agama, bangsa, masyarakat, dan negara. Tunduk dan hormat adalah perbuatan yang menyatakan setia. Walau bagaimanapun, bakti dari perspektif Islam terdiri daripada unsur-unsur seperti Ibadat. Ibadat dalam erti kata yang paling ringkas merupakan tindakan yang melambangkan perasaan merendah diri, patuh dan menyembah Allah S.W.T dengan penuh keimanan, ketaqwaan dan keikhlasan. Ia terbahagi kepada dua. Pertama, ibadat khusus yang terdiri daripada rukun iman yang enam, rukun Islam dan sebagainya. Kedua, ibadat umum iaitu yang meliputi segala aspek kehidupan manusia seperti sahsiah, keluarga, kejiranan, masyarakat, negara, pengurusan, ekonomi, kebudayaan, kesenian, pendidikan dan sebagainya. Ibadat sebagai bakti merupakan tugas, tanggungjawab dan matlamat utama mengapa manusia berada di atas muka bumi ini. Amanah ini diabadikan oleh Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya: “Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu. Aku tidak berkehendak daripada mereka sebarang rezeki dan Aku tidak berkehendak mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah berhak memberi rezeki lagi mempunyai kekuatan yang teguh” (Surah az Zariyat: 51:56-58). Unsur bakti yang selanjutnya ialah amal jariah. Ia merupakan sedekah harta kekal, ilmu yang sentiasa memberi manfaat (penulisan karya dan anak yang salih). Ganjaran pahala daripada Allah S.W.T terus diterima oleh orang yang berbakti walaupun setelah ia telah kembali ke rahmatullah. Hal ini disabdakan oleh Rasulullah S.A.W dalam sepotong Hadis terjemahannya: “Apabila anak Adam meninggal dunia, maka terbuktilah segala amal baiknya kecuali dari tiga macam amal iaitu harta yang diwakafkan (sedekah jariah), ilmu yang selalu dimanfaatkan kepada orang lain dan anak yang salih yang selalu mendoakan keselamatan orang tuanya”. Seterusnya, taat dan setia. Orang yang berbakti dijelaskan oleh Allah S.W.T sebagai orang yang taat dan setia. Yang paling utama ialah ketaatan dan kesetiaan kepada Allah S.W.T selepas itu kepada Rasulullah S.A.W. Akhirnya kepada pihak pemerintah yang adil menguruskan urusan kehidupan seseorang. Unsur ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah S.A.W dan kepada orang yang berkuasa dalam kalangan kamu” (Surah an Nisaa’:4:59). Selain itu, hormat-menghormati merupakan satu unsur dalam bakti. Penghormatan yang tinggi seharusnya diberikan oleh anak kepada kedua-dua ibu bapanya. Yang lebih muda sewajarnya menghormati mereka yang lebih tua. Jiran menghormati para jirannya. Sahabat menghormati sahabatnya dan begitulah seterusnya. Murid menghormati para gurunya dan begitulah seterusnya. Natijahnya tidak lain dan tidak bukan melainkan meningkatnya persaudaraan sesama umat Islam dan perpaduan sesama manusia dari pelbagai agama, keturunan, bangsa, warna kulit, bahasa, adat resam, kebudayaan dan sebagainya. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T dalam (Surah al Hujarat:49:13). Unsur bakti yang selanjutnya ialah berkasih-sayang sesama manusia. Ia menjadi unsur penting dalam bakti kerana dengan sifat ini menyebabkan seseorang itu tidak sayang atau ralat untuk menabur budi dan bakti kepada golongan yang memerlukan pertolongan dan bantuan. Sifat ini amat digalakkan oleh Allah S.W.T sepertimana yang difirmankan dalam ayat terjemahannya: “Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya). Dan kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat) nescaya menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi” (Surah al Baqarah:2:64). Bakti akhirnya diperkukuhkan dan disempurnakan oleh sifat suka berbuat kebaikan. Sebab itulah Allah S.W.T mewajibkan agar umat Islam sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Kewajipannya terkandung dalam firmannya iaitu “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing tuju. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan” (Surah al Baqarah: 2: 148). Sesungguhnya bakti itu terdiri daripada enam unsur iaitu ibadat, amal jariah, kesetiaan, hormat menghormati, kasih-mengasihi dan berusaha melakukan kebaikan.

Universiti memiliki tiga warna dalam logonya. Antaranya biru, kuning, dan putih. Warna biru melambangkan perpaduan bangsa yang menuntut di UUM. Warna kuning melambangkan semangat dalam membuat setiap perkara yang mendatangkan faedah dan manfaat. Warna putih melambangkan kesucian dalam membentuk sesuatu organisasi. Logo Universiti adalah berbentuk sebuah perisai seakan-akan mata pena. Di dalam perisai itu terdapat garis-garis lengkung dan tegak. Di tengah-tengahnya terdapat enam biji padi masak. Warna tanah perisai itu ialah biru tua. Warna garis lengkung dan garis tengah ialah putih. Jika pada bendera, tanah di luar logo adalah berwarna biru muda. Terdapat beberapa tafsiran bagi logo Universiti. Pertama, bentuk perisai seakan-akan mata pena melambangkan bahawa Universiti Utara Malaysia ialah sebuah institusi pendidikan dan keilmuan. Mata pena juga melambangkan aspek keilmuan yang proaktif. Universiti tidak sekadar menyebarkan ilmu menerusi pengajaran tetapi juga mengembangkan ilmu menerusi penyelidikan dan penulisan. Kedua, garisan-garisan putih itu melambangkan nama Universiti. Garisan lengkung di bawah sekali ialah U (Universiti). Garisan lengkung di atasnya ialah satu lagi U (Utara). Garisan tegak di tengah-tengah, di bahagian atas dan dua garisan lengkung di kiri kanannya ialah M (Malaysia). Oleh itu, garisan-garisan dalam logo ini melambangkan singkatan nama Universiti Utara Malaysia iaitu UUM. Ketiga, terdapat pula erti lapisan kedua yang terkandung dalam logo Universiti Utara Malaysia. Kedua-dua garisan melengkung di bahagian bawah perisai melambangkan lembaran kertas yang membawa erti keilmuan. Enam bulatan bujur berwarna kuning di tengah perisai ialah lambang padi masak yang membawa erti budi seperti yang digambarkan oleh pepatah Melayu; “Ikut resmi padi semakin berisi semakin tunduk” (semakin berilmu semakin merendah diri). Enam butir padi juga melambangkan bahawa Universiti yang keenam ini terletak di negeri Kedah, “Jelapang Padi Malaysia”. Ketiga-tiga garisan di bahagian atas perisai melambangkan usaha bersama ataupun berseorangan untuk berbakti kepada agama, bangsa, masyarakat dan negara.

Kesimpulannya, Universiti Utara Malaysia mendedikasikan dirinya kepada matlamat melahirkan lulusan yang mempunyai kebolehan dan kepimpinan tinggi dalam perancangan dan pengurusan sumber manusia dan sumber alam secara saintifik dan kreatif demi kesejahteraan bangsa, kesentosaan negara serta kedamaian dunia seluruhnya. Azam Universiti ialah membina kecemerlangan prestasi dalam pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan perkhidmatan masyarakat, khususnya dalam usaha mengembleng sumber manusia dan sumber alam secara lebih berkesan. Adalah azam Universiti untuk membina sahsiah bakal lulusannya supaya seimbang antara keilmuan, kebudimanan dan segala sifat kemanusiaan dengan nilai-nilai luhur dan murni. Ke arah itu, Universiti akan membudayakan dirinya, sekalian pelajar dan kakitangannya sejajar dengan motonya: ILMU, BUDI, BAKTI.

(2035 patah perkataan)





Rujukan

Universiti Utara Malaysia. (2009). Pelan Strategik UUM 2009-2010: UUM, Sintok.

Universiti Utara Malaysia, & Lesen Creative Commons Pengiktirafan/Perkongsian Serupa (2013). Universiti Utara Malaysia. Petikan daripada http://ms.wikipedia. org/wiki/ Universiti_ Utara_Malaysia.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. (2011). Universiti Utara Malaysia. Petikan daripada www.malaysiamerdeka.gov.my.

Pusat Islam Universiti Utara Malaysia. (2001). Ilmu, Budi, Bakti: UUM, Sintok.

Abu Seman Awang PJK, Noor Azman Yusof, & Redzuan Ishak. (1999). Meniti Suasana di Lembah Sintok. Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Utara Malaysia: UUM Sintok.

Fawzi Basri, & etl. (1994). Lembah Sintok Mengorak Langkah. Universiti Utara Malaysia: UUM 1 Dekad.


Monday 27 May 2013

MAKNA DI SEBALIK LIRIK LAGU "YANG TERINDAH"


Tajuk Lirik Lagu: Yang Terindah (OST Adamaya)
Artis: Dakmie

Semenjak kau hadir dalam hidupku
Tiada lagi keresahan
Kau mengetuk pintu hatiku
Tanpa sedar hingga ku izinkan
Kau yang bernama cinta
Kau yang memberi rasa
Kau yang ilhamkan bahagia
Hingga aku terasa indah
Maaf jika ku tidak sempurna
Tika bahagia mula menjelma
Bila keyakinan datang merasa
Kasih disalut dengan kejujuran
Mencintai dirimu
Merindui dirimu
Memiliki dirimu
Hingga akhir hayat bersama kamu
Kau yang bernama cinta
Kau yang memberi rasa
Kau yang ilhamkan bahagia
Hingga aku terasa indah
Kau yang bernama cinta
Hingga aku rasa indah


Lagu Yang Terindah ini dipetik daripada drama Adamaya yang dinyanyikan oleh Dakmie. Lagu ini menceritakan tentang luahan perasaan cinta seorang lelaki terhadap gadis yang disayanginya sehingga dia sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan gadis tersebut.
Lirik lagu ini menyatakan maksud bahawa sejak gadis itu telah hadir dalam dirinya sehingga menghilangkan perasaan resah dalam dirinya. Tanpa disedarinya, gadis itu berjaya membuka pintu hati lelaki itu untuk bercinta.
Gadis ini dianggap sebagai cinta. Dia juga memberi perasaan cinta itu kepada lelaki berkenaan. Gadis itu juga turut melimpahkan perasaan bahagia kepada lelaki ini sehingga lelaki ini berasa amat indah untuk meneruskan kehidupannya.
Lelaki ini berasa dirinya berada dalam serba kekurangan sehingga dia memohon maaf kepada gadis tersebut. Dia bimbang sekiranya kebahagiaan dan keyakinan baru tiba kepada mereka tetapi gadis ini baru sedar bahawa lelaki tersebut mempunyai kekurangan. Namun dia hanya berharap bahawa kasih sayang mereka akan kukuh dengan sifat jujur antara satu sama lain.
Lelaki ini meluahkan perasaannya bahawa dia amat mencintai, merindui, dan akan memiliki gadis tersebut sehingga akhir hayatnya.
Lelaki ini tetap menganggap gadis tersebut sebagai cinta sejatinya sehingga setiap perkara yang dilakukannya dalam keadaan indah dan bahagia walau apa pun yang berlaku antara mereka. 

MAKNA PENULISAN BERDASARKAN PANDANGAN TOKOH-TOKOH TERKENAL



Menurut Za’ba (1965), penulisan adalah pekerjaan menyusunkan perkataan dengan susunan yang elok kerana menghalkan atau merupakan sesuatu fikiran hati atau sesuatu kisah cerita supaya dapat difahamkan oleh orang lain apabila didengar atau dibaca.
Menurut Woolston, Robinson & Kutzbach (1988) pula menyatakan penulisan dapat ditakrifkan sebagai proses untuk mereka bentuk sesuatu dokumen yang menepati sesuatu kehendak, dan menentukan bahawa penulisan tersebut menepati sesuatu fungsi yang dihasratkan oleh penulis.
Manakala menurut Awang Sariyan (1991), beliau telah mendefinisikan penulisan sebagai  pengolahan gagasan atau pemikiran dan juga proses mekanis yang melibatkan penguasaan alat dan teknik untuk mengungkapkan gagasan atau pemikiran.
Horton (1993) ada menyatakan penulisan ialah bagaimana akal berfikir. Penulisan, iaitu mencatatkan perkara-perkara di atas kertas yang mana membolehkan kita berpegang pada satu idea sementara kita terus meneroka beberapa idea yang diruntuti oleh suara kecil di sebalik pemikiran kita yang mungkin bersangkutan dengannya.
Seterusnya, menurut Ahmad (2002) telah menyatakan penulisan merupakan aktiviti yang tidak mudah malah kompleks penulisan ialah satu proses yang melibatkan menganalisis cetusan fikiran, penyusunan fakta dan penghuraiannya kepada bentuk wacana yang logikal.
Berdasarkan definisi-definisi ini, dapat disimpulkan bahawa penulisan merupakan satu aktiviti yang melibatkan pemikiran dan perasaan. Kedua, ia adalah satu proses berterusan dalam usaha menyampaikan pemikiran dan perasaan penulis. Akhir sekali, penulisan adalah satu hasil (produk) yang dibaca dan difahamkan yang mungkin juga melibatkan tindak balas tertentu.

ISU NEGARA MASA KINI


Isu yang ingin saya ulaskan pada kali ini ialah berkaitan dengan isu pendidikan. Tajuk yang menjadi pilihan saya ialah adakah beban tugas guru yang semakin banyak menyebabkan kualiti pendidikan semakin merosot?
Kini memang ada kebenarannya apabila kalangan guru terlalu sibuk dengan kerja pengkeranian sehinggakan tugas utama mengajar adakalanya terjejas. Hal ini agak berbeza dengan situasi jika dibandingkan dengan zaman 60-90an apabila guru dilihat fokus mengajar.
Oleh itu, Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin sekarang ini sedang berusaha keras untuk membantu menyelesaikan permasalahan yang dibebani kalangan guru di Malaysia hari ini.
Dato’ Seri berkata, kaedah untuk mengurangkan beban tugas pentadbiran guru akan diberi perhatian segera dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
Walau bagaimanapun, sebelum ini guru-guru hanya perlu mencatat markah pelajar dalam buku rekod. Namun sekarang, guru-guru perlu menghadap komputer berjam-jam lamanya untuk memasukkan pelbagai jenis data dalam pelbagai jenis perisian komputer seperti SAPS, SMM, APDM, SSDM, SSDM-A, SPPPBS, NILAM, ESPLG, e-Dat, E-Operasi, Hrmis, e-Perolehan, dan lain-lain lagi. Hal ini dapat menjejaskan kualiti pengajaran guru-guru tersebut.
Keperluan guru harus diberi keutamaan sebagai motivasi untuk mereka menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan luar bilik serta pencapaian dan kejayaan sesebuah sekolah itu bergantung kepada warga pendidik.

APA ITU CINTA?


Cinta adalah fitrah bagi setiap manusia, setiap dari kita diciptakan Allah perasaan ingin mencintai dan dicintai. Tidak ada sesiapa pun yang terlepas dari perasaan ini. Cuma cara kita menzahirkannya mungkin berbeza bagi setiap individu.
Pertama, cinta yang paling agung adalah cinta kepada Pencipta iaitu Allah Yang Maha Esa. Cinta ini adalah cinta yang harus kita utamakan dari cinta yang lain. Hal ini demikian kerana hanya dengan mencintai Dia, hidup kita akan mendapat ketenangan, hanya padaNya tempat kita mengharap dan memohon pertolongan. Alangkah bertuahnya jika kita mendapat cinta Allah.
Kedua, cinta kepada ibu bapa. Setiap orang yang bergelar anak pasti ada rasa kasih sayang dan cinta kepada ibu bapa mereka. Percayalah walau seburuk mana dan seteruk mana pun mereka, hal ini takkan pernah memutuskan hubungan antara kita dengan mereka. Mereka adalah insan yang sepatutnya kita hormati dan kasihi sampai bila-bila.
Ketiga, cinta kepada sahabat handai. Pada pendapat saya, jika kita berkawan dengan seseorang itu biarlah ikhlas semata-mata kerana Allah, insya Allah akan manis ukhwah yang terjalin antara kita dengan sahabat itu serta akan meresap ke dalam jiwa.
Akhir sekali, cinta kepada pasangan. Pasangan yang dimaksudkan di sini adalah pasangan suami isteri. Sebagaimana yang kita tahu bahawa setiap manusia diciptakan berpasang-pasangan. Meluahkan cinta kepada pasangan yang halal dapat melahirkan insan yang disayangi Allah.